Friday, February 12, 2010

ELAK SAMBUT VALENTINE’S DAY (Bahagian Terakhir)

Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja
Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut,
seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s
Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park,
Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St.
Valentine Church di Buffalo, New York.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah
sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini
sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya
meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang
melibatkan aqidah Islam.

Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai
identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu
penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta
tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan
umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan
akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain.
Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.;

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan
menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu
menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan
beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu
beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi
aku agamaku.”
(al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat
lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman,
hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri
bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal
melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan
Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.;

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada
amalan kami maka ia akan ditolak.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan
menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan
dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang
bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa
amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan
amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah
bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari
Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

sumber:www.islam.gov.my

No comments:

Post a Comment