Wednesday, January 27, 2010

CINTA LAWAN PENJARA (bahagian 1)

Kisah Nabi Yusuf A.S mendapat tempat yang paling istimewa dalam Al-Quran. Ada sebuah surah sepanjang 111 ayat dinamakan ‘Surah Yusuf’, khas untuk menceritakan kisahnya. Tidak ada kisah lain yang diberi keistimewaan sebegitu oleh Al-Quran. Mari kita ikuti sebahagian dari kisahnya, yang diceritakan semula dengan beberapa tambahan imaginatif, berdasarkan surah tersebut:

Di pintu mahligainya, Zulaikha menyambut para tetamunya dengan ramah mesra. Dia mempersilakan mereka mengambil tempat duduk masing-masing seperti yang telah disediakannya, iaitu kerusi-kerusi santai yang mewah. Buah-buah segar seperti epal dan mangga telah sedia terhidang di atas meja.

Apabila semua tetamu telah duduk, khadam pun datang dengan penuh beradab, memberikan mereka sebilah pisau setiap orang. Pisau-pisau itu semuanya tajam berkilat kerana telah diasah khas untuk tujuan itu. Lalu Zulaikha pun mempersilakan mereka menikmati hidangan dengan menggunakan pisau istimewa itu.

Ketika pisau di tangan, saat itulah Zulaikha menyuruh Yusuf keluar memperlihatkan dirinya kepada para tetamu. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat Yusuf. Mereka terpegun, terpesona dan terpukau dengan suatu keajaiban ciptaan Tuhan. Belum pernah mereka melihat sesuatu yang cantik dan indah seperti itu sebelum ini.

Tanpa mereka sedari, pisau yang tajam telah menghiris jari-jari dan tangan mereka sendiri. Mereka sangkakan memotong buah, padahal mereka memotong jari-jari sendiri. Darah menitik memerahi lantai, namun mereka tidak terasa pun sakitnya.

Dalam keadaan ternganga dan seperti kebingungan, mereka berkata, “Maha Suci Allah, ini bukannya manusia. Ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia.”

“Apa hal semua ini? Tangan semua berdarah-darah ni, apasal? Ha? Cik Puan, kenapa ni? Berdarah-darah tangan ni, kenapa?”, Zulaikha pura-pura bertanya,menunjukkan seolah-olah dia terkejut melihat keadaan tetamunya.

No comments:

Post a Comment