Tuesday, March 9, 2010

Kisah Benar Wanita Yang Cekal

Kisah ini agak menyedihkan saya dan membuatkan saya terharu yang amat sangat dengan ketabahan seorang wanita bergelar isteri. Kisah benar ini berlaku kepada diri saya sendiri. Saya rasa ianya perlu direnungi dan difikirkan demi kebaikan bersama. Kisah ini berlaku pada akhir tahun lepas.

Seperti sudah sedia maklum, setiap hari Jumaat, para Muslimin akan bergegas ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Saya juga tidak ketinggalan untuk bersolat. Namun pada hari itu agak berlainan kerana biasanya saya akan mandi terlebih dahulu supaya lebih segar. Tetapi pada hari tersebut, saya gagal berbuat sedemikian kerana sibuk atas beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan. Lalu saya terus bergegas ke masjid (saya terpaksa rahsiakan).

Kebiasaannya, imam atau nazir masjid akan mengumumkan hal-hal penting sebelum bersolat. Pada hari itu, imam masjid ini mengumumkan sumbangan derma untuk meringankan beban seorang isteri atau ibu yang menghadapi kesempitan hidup ekoran suaminya kehilangan upaya untuk berkerja. Suaminya telah jatuh sakit serta amat memerlukan wang untuk membeli ubat-ubatan untuk suaminya selain daripada perbelanjaan dapur.

Saya menganggap ianya hanyalah perkara biasa sahaja. Tambahan pula saya sememangnya sudah memasang niat untuk menderma setakat yang termampu. Selesai solat dan berdoa, saya pun bergegas ke tempat wanita itu. Saya hulurkan derma ihklas saya. Perasaan saya sayu apabila melihat wajah ibu ini. Jelas kelihatan bahawa wanita ini keletihan, lesu dan bibirnya kering mungkin sudah lama tidak menikmati sebarang minuman.

Dia hanya mampu bersandar ke dinding sambil memandang ke arah jemaah yang bersimpati di samping mengucapkan terima kasih. Semua wang derma dimasukkan ke dalam tong khas . Dia jelas berada dalam kesedihan dan tekanan yang maha hebat. Paling mengharukan saya, ada seorang budak lelaki (kalau tidak silap saya) kelihatan asyik bermain dengan alat permainananya. Saya yakin itu adalah anak wanita itu. Anak itu tetap ceria sambil melemparkan senyuman manis kepada para jemaah seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Saya berdiri kaku apabila melihat adegan itu. Hati saya sedih mengenangkan nasib wanita itu. Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, saya masih memikirkan nasib wanita itu. Bagaimanakah suaminya? Sudah sembuhkah dia? Bagaimanakah kehidupannya kini terutamanya anak kecil itu? Saya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT meringankan penderitaan hidup isteri cekal ini. Amin.

No comments:

Post a Comment